Friday, March 14, 2008

Angkat Sumpah Exco



Wan Ubaidah Exco Wanita Pertama Kerajaan PAS Kelantan
Dikirim pada Mac 13, 2008 oleh editor
KOTA BHARU, 13 Mac: Buat pertama kali dalam tempoh 18 tahun pemerintahan kerajaan negeri Kelantan, PAS melantik wakil wanita sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Kelantan Wan Ubaidah Omar dijangka memegang portfolio pembangunan wanita.

Menurut sumber PAS, sebelum ini portfolio itu dipegang oleh Abdul Fattah Mahmood, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Belia.

Wan Ubaidah menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang selepas calon Barisan Nasional (BN) Mustopha Ahmed hilang kelayakan bertanding pada pilihan raya umum baru berakhir.

Mustopha sebelum ini didapati muflis oleh Mara dan secara automatik gugur kelayakan sebagai calon pilihan raya.

“Kemungkinan portfolio pembangunan wanita akan dipisahkan daripada portfolio Belia dan Sukan,” kata sumber itu.

Selasa lepas, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Nik Mat mengesahkan mengenai tiga Exco kerajaan negeri baru dilantik selain Wan Ubaidah adalah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Baru Che Abdullah Mat Nawi dan ADUN Temangan Dr Mohd Fadzli Hassan.

Manakala tiga muka lama Exco kerajaan yang digugurkan adalah Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian dan Sumber Manusia Zulkifli Mamat; Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Pembangunan Islam dan Dakwah Hassan Mahmood; dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Desa, Dr Nik Mazian Mohamed.

Difailkan dalam: Negeri Ambo